http://picasion.com/gl/94cD/

Friday, December 15, 2017

PROGRAM KESELAMATAN KEBAKARAN & LATIHAN PEMADAMAN KEBAKARAN

Jawatankuasa Pelaksana EKSA dengan kerjasama bahagian latihan dan pentadbiran Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu telah mengadakan satu Program Keselamatan Kebakaran & Latihan Pemadaman Kebakaran yang mana ianya diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun di peringkat ibu pejabat dan mengikut keperluan di daerah-daerah. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pegawai dan kakitangan termasuklah pekerja swasta yang terdiri daripada pengawal keselamatan, pihak pengurusan bangunan dan pihak pembersihan bangunan supaya peka tentang prosedur yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran dan kecemasan di premis tempat kerja. Langkah ini diharap akan dapat meningkatkan kesedaran warga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu terhadap aspek keselamatan ketika bertugas dan berada dalam bangunan tempat bekerja.

Sehubungan dengan itu, memandangkan aspek keselamatan merupakan salah satu elemen penting di dalam pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), maka Jawatankuasa Induk EKSA JKSTR telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Program Keselamatan Kebakaran & Latihan Pemadaman Kebakaran peringkat Jabatan. Program yang telah diadakan pada 14 Disember 2017 (Khamis) melibatkan semua wakil dari ibu pejabat, wakil dari setiap zon-zon EKSA (Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah), wakil dari pengawal keselamatan, pengurusan bangunan dan pengurusan kebersihan bangunan yang terlibat. Antara aktiviti lain yang turut diadakan selain ceramah kesedaran berkaitan proses menangani kebakaran, terdapat simulasi proses bertindak dan menyelamat ketika berlakunya kebakaran, dan juga demonstrasi memadamkan kebakaran yang dikendalikan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu.